Monday, December 8, 2014

perihal mereka, aku dan kau; kau nampak permainan kehidupan di situ

baca dalam dua nafas agar kau mampu menghadam dan mencerna apa yang ingin aku bicarakan.

aku melihat mereka itu dari kejauhan, mereka dari golongan yang lebih marhaen daripada aku, dengan kantung yang kerap berdentang berdenting kosong, dengan kaki diikat memberat oleh perkataan miskin. namun, tetap juga mereka dapat ketawa, senyum, riang, tetap juga mereka menghayun langkah meneruskan kehidupan. dan, kalau dicongak-congak, apa yang aku terima sebulan itu hanya akan diterima oleh mereka setelah berhempas pulas selama setengah tahun, namun, masih juga aku mengeluh sedang hakikatnya yang sepatutnya mengeluh itu mereka. 
kau nampak permainan kehidupan di situ ?

aku memiliki obsesi terlampau terhadap kesedihan sehingga sukar untuk aku tersenyum, ya, kau boleh katakan aku ini kedekut dengan senyuman aku, lebihan asid dalam badan yang perlu disalahkan sehingga menyebabkan aku sentiasa masam dan kusam. sudah aku katakan aku perempuan marhaen yang terperangkap dalam polaroid usang, aku tidak pernah berubah dan tak akan, dari polaroid usang ini aku lihat dunia yang bergelumang dalam ketidakadilan yang manusia itu sendiri ciptakan. lalu dunia yang disalahkan, dunia yang kejam, dunia yang memberikan fahaman materialistik, lalu aku dan kau itu dikatakan sebagai mangsa kekejaman dan ketidakadilan dunia. sedangkan yang sebenarnya hakikatnya aku dan kaulah dalang di sebalik semua itu.
kau nampak permainan kehidupan di situ?

No comments:

Post a Comment